ARTIKEL


KENAIKAN harga minyak sebagai bahan asas tenaga telah memberi impak yang besar kepada masyarakat dunia. Minyak merupakan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Rezab minyak yang ada di negara kita akan berkurangan dalam tempoh beberapa tahun mendatang, menjelang tahun 2014 Malaysia akan menjadi negara pengimport minyak sepenuhnya.

Pada masa yang sama Hari Alam Sekitar Sedunia (HASS) tahun ini juga menganjurkan masyarakat untuk meninggalkan amalan pembebasan gas karbon dioksida yang boleh mencemarkan alam. Ini kerana, peningkatan aras karbon dioksida di dalam udara akan menyebabkan fenomena pemanasan global yang menghadirkan impak bencana luar jangka serta boleh membinasakan dunia. Sejajar dengan itu, pembangunan teknologi tenaga boleh diperbaharui yang bebas karbon amat perlu diusahakan.
Sememangnya kita tidak boleh menunggu dan memikirkan sampai bilakah harga minyak akan turun. Kita perlu beralih dan melakukan transformasi besar-besaran kepada teknologi yang berasaskan sumber boleh diperbaharui. Kita tidak boleh menunggu sehingga harga minyak di pasaran dunia meningkat sehingga RM300 setong.
Oleh itu para saintis, jurutera dan para cendekiawan ekonomi di negara ini perlu bersatu mencari formula baru untuk meringankan beban rakyat, bukan sekadar menyatakan angka-angka statistik untuk bacaan rakyat semata-mata.
Selama ini negara kita amat bergantung pada penggunaan minyak, gas asli dan arang batu sebagai bahan asas bagi janakuasa elektrik. Sumber tenaga ini di kategorikan sebagai tenaga yang tidak boleh diperbaharui.
Perkembangan sektor industri di negara kita yang bermula pada era 1980-an telah meningkatkan keperluan penggunaan tenaga elektrik sekali ganda yang turut sama menyumbang kepada penghasilan gas-gas rumah hijau.
Tenaga boleh diperbaharui boleh ditakrifkan sebagai sumber tenaga yang boleh digunakan lagi, berulang-ulang dan tidak terbuang begitu sahaja. Pembangunan teknologi tenaga boleh diperbaharui bebas karbon bukan sahaja membantu dalam mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan minyak malah dapat mengurangkan masalah pencemaran udara.
Pembangunan teknologi tenaga boleh diperbaharui bebas karbon perlu dilihat sebagai salah satu jalan untuk melestarikan pembangunan sektor industri di negara kita. Pembangunan teknologi ini di negara kita masih jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara maju. Walaupun begitu terdapat usaha-usaha yang dimainkan oleh Institusi Pengajian Tinggi dan sektor swasta dalam membangunkan teknologi ini. Usaha ini perlu harus dikembangkan dengan lebih giat lagi.
Tenaga solar, air dan angin boleh memberi jumlah tenaga yang besar dan boleh digunakan untuk menjanakuasa elektrik. Ketiga - tiganya ini termasuk dalam sumber tenaga boleh diperbaharui yang boleh diguna secara berterusan dan tidak akan habis. Salah satu kebaikanya ia juga tidak menimbulkan masalah pencemaran udara.
Penggunaan cahaya suria sebagai sumber tenaga semakin meluas di negara - negara maju. Menara solar (Solar Towers), mempunyai beratus- ratus panel solar yang difokuskan pada cahaya suria bertujuan untuk menyerap tenaga suria dan tenaga haba dalam bentuk cecair. Cecair tersebut akan memanas dan akan digunakan untuk memanaskan air untuk membentuk wap air atau stim. Wap air yang terbentuk pada jumlah yang tinggi boleh menggerakkan turbin dan generator untuk menghasilkan elektrik.
Kawasan-kawasan terbiar di negara ini seperti bekas-bekas tapak kuari dan perlombongan serta tapak projek pembangunan yang terbiar lama boleh di manfaatkan sebagai tapak penjanaan tenaga elektrik dari sumber suria. Limpahan cahaya suria di negara kita yang beriklim khatulistiwa difikirkan amat sesuai untuk janakuasa elektrik.

Namun beberapa cabaran untuk melaksanakanya perlu dikenalpasti. Maklumat mengenai keamaatan cahaya suria amat penting, bagi menetapkan lokasi yang sesuai bagi penjanaan tenaga solar. Selain itu ia juga memerlukan kawasan yang luas bagi membolehkan tenaga solar dapat diserap dengan lebih banyak dan tenaga dapat dijana secara efektif.

Pengunaan tenaga solar di negara-negara maju semakin meningkat, ini terbukti dengan pembukaan kilang mereka di Malaysia yang menghasilkan plat solar untuk kegunaan di negara-negara maju. Negara kita seharusnya mengambil langkah yang sama untuk memajukan bidang ini.
Kawasan-kawasan penanaman padi yang luas pada masa hadapan di negara kita boleh diintegrasikan dengan pembinaan stesen pembinaan tenaga elektrik dari sumber semula jadi angin.
Selain itu, dataran pantai yang luas terdapat di negara kita perlu di manfaatkan sebagai lokasi penjanaan tenaga elektrik daripada sumber semula jadi angin. Sumber tenaga angin digunakan bagi menggerakkan turbin yang disambung dengan generator sehingga boleh menghasilkan tenaga elektrik.
Pada penghujung tahun 2007, kapasiti pengeluaran tenaga melalui sumber tenaga angin dunia adalah sebanyak 94.1 Gigawatt. Meskipun kini tenaga angin hanya menjana kira-kira satu peratus daripada jumlah tenaga elektrik seluruh dunia, ia kini merupakan pembekal sebanyak 19 peratus tenaga elektrik Denmark, sembilan peratus di Sepanyol dan Portugal serta enam peratus di Jerman serta Ireland.
Pemilihan tapak janakuasa elektrik pula amat bergantung kepada taburan tiupan angin dan ketinggian menara kincir angin. Kajian terperinci mengenai kesesuaian tapak dan taburan halaju angin boleh membantu dalam proses pembangunan teknologi ini.

Sungai-sungai yang mengalir ke arah kawasan lembah dan ombak yang menghempas ke pantai merupakan sumber tenaga alam yang boleh diguna secara berterusan dan tidak menimbulkan pencemaran. Seperti jenis-jenis tenaga lain kekuatan ombak dan terjunan air boleh menggerakkan turbin dan generator sehingga menghasilkan tenaga elektrik.

Stesen tenaga hidro (hydro-electric power stations) menggunakan kekuatan pergerakan air untuk menghasilkan elektrik. Kebanyakan stesen ini akan menyimpan air dalam tangki yang sangat besar yang terletak dibelakang dinding empangan yang sangat cerun. Kemudiannya air akan dialirkan melalui turbin bawah air.

Empangan Kenyir dan Empangan Bakun merupakan contoh penggunaan air sebagai sumber penjanaan tenaga. Pembangunan tenaga hidro ini dalam masa yang sama dapat menguruskan sumber air negara dengan lebih efisien daripada terus dicemari.
Tenaga ombak merupakan salah satu tenaga baru yang perlu dimajukan di negara kita. Bentuk muka bumi negara kita yang mengunjur ke muka laut boleh di manfaatkan untuk pembangunan teknologi ini.
Negara seperti Portugal telah memulakan pembangunan teknologi tenaga ini. Tenaga elektrik yang dijana oleh ombak ini boleh di manfaatkan kepada penduduk di sekitar kawasan pesisir pantai, malah ia juga boleh dimanfaatkan untuk penggunaan tenaga bagi operasi di pelabuhan-pelabuhan dalam negara kita.

Pelaksanaan teknologi tenaga boleh diperbaharui memerlukan kesungguhan yang mendalam. Untuk melakukan pembaharuan dalam sektor tenaga baru ia memerlukan kajian yang teliti untuk dibangunkan. Dalam hal ini sektor swasta perlu berperanan untuk turut sama menyumbang dalam membantu menyediakan dana dalam pembangunan teknologi ini.
Kajian dan pembangunan oleh institusi pengajian tinggi seharusnya diambil kira untuk dibangunkan secara berterusan. Kebanyakan tenaga pakar dalam negara kita sudah diiktiraf di peringkat dunia, kepakaran mereka seharusnya di gunakan di dalam negara untuk menghasilkan inovasi baru dalam transformasi tenaga di negara ini.

Selain dari solar, air dan angin terdapat juga tenaga boleh diperbaharui yang bebas karbon iaitu penggunaan tenaga nuklear. Penggunaan teknologi nuklear dilihat sebagai salah satu alternatif tenaga yang boleh diaktifkan. Namun risiko bahan ini terhadap alam sekitar masih menjadi perdebatan.
Dalam usaha menjayakan perkara ini pihak kerajaan perlu menyemak semula pelan perancangan fizikal negara. Ini bagi membolehkan kawasan-kawasan untuk pembangunan teknologi tenaga boleh diperbaharui bebas karbon ini mendapat ruang untuk di majukan. Selain itu syarikat-syarikat gergasi negara seperti Petronas dan Tenaga Nasional perlu melabur dalam sektor baru ini, sebagai landasan untuk membina wajah baru sektor tenaga negara.

Isu kenaikan harga minyak di pasaran global ini dilihat juga sebagai salah satu mekanisme penjajahan alaf baru. Di mana negara-negara miskin akan tertindas dan mengharap bantuan dari negara maju seperti Amerika Syarikat untuk membangunkan negara mereka.
Langkah untuk memajukan sektor tenaga boleh diperbaharui telah dimulakan oleh negara-negara maju. Kita juga harus bergerak pantas untuk membangunkan teknologi, bagi mengelakkan negara kita terjebak dari penjajahan bentuk baharu ini.

Keupayaan negara kita dengan sumber modal insan yang pakar dalam bidang kejuruteraan , sains dan ekonomi wajar dimanfaatkan bagi membangunkan teknologi ini. Andainya kita berjaya sudah tentu kita akan mampu menawarkan penyelesaian baru kepada dunia dalam menangani kemelut kenaikan harga minyak ini.

Tiada kata terlambat bagi melakukan perubahan, tenaga boleh diperbaharui bebas karbon merupakan alternatif masa depan yang dapat membantu pembangunan negara secara lestari.

Sumber:Bernama dan utusan online





Tenaga dan Masa Depan


Tenaga sangat penting dalam kehidupan. Hakikat ini diakui kerana tenaga bukan sahaja diperlukan untuk tumbesaran dan pergerakan malah ia meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuk aplikasi sistem yang canggih, perindustrian, pengangkutan, pertanian, pencahayaan dan sebagainya.
Sukar dibayangkan sekiranya kita tidak mempunyai bekalan tenaga elektrik atau kehabisan bekalan gas, diesel atau petrol. Mungkin sukar untuk kita ke sesuatu tempat tanpa kenderaan. Surirumah atau pengusaha restoran  mungkin tidak dapat menyediakan juadah kerana ketiadaan gas memasak. Jalanraya juga mungkin kacau-bilau akibat lampu isyarat yang tidak berfungsi. Lampu jalan yang tidak berfungsi menambah lagi kegelapan malam. Mereka yang bekerja di bangunan tinggi juga tentu kepenatan menaiki tangga akibat lif yang tidak berfungsi akibat ketiadaan elektrik. Tanpa tenaga, tidak dapat dibayangkan bagaimana kehidupan di dunia kini.
Umumnya, sumber tenaga berpunca daripada empat sumber asas; tenaga suria,geoterma, tenaga ombak dan tenaga nuklear. Sumber utama ialah tenaga suria daripada sinaran cahaya matahari. Geoterma dihasilkan oleh aktiviti magma dalam perut bumi. Tenaga ombak pula terhasil daripada peredaran bumi yang menghasilkan air pasang surut. Manakala tenaga nuklear dihasilkan daripada pembelahan nukleus unsur-unsur tidak stabil bahan radioaktif. Ada ura-ura mengatakan bahawa Malaysia juga berhasrat untuk memajukan tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik  Sehingga kini ia masih di peringkat perbincangan dan keputusannya belum diumumkan lagi oleh kementerian yang terbabit. Banyak isu-isu keselamatan dan pandangan pakar perlu diambil kira sebelum memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik. Namun begitu teknologi sinaran nuklear telah banyak dimajukan untuk kegunaan dalam bidang perubatan dan pertanian yang sedang giat dijalankan oleh Agensi Nuklear Malaysia.
Tenaga suria digunakan dalam tiga bentuk; sinaran suria terus, tenaga yang tersimpan dalam bentuk hidrokarbon dan tenaga tidak terus yang menghasilkan tenaga angin, tenaga hidro dan juga tenaga terma laut. Sinaran suria dapat digunakan secara terus dengan menukarkannya kepada tenaga elektrik menggunakan sel fotovoltaik atau digunakan sebagai tenaga haba dalam sistem air panas suria dan juga pengeringan. Tenaga suria tersimpan dalam dua bentuk; pertama dalam bentuk mineral yang disimpan dalam perut bumi seperti arang batu, petroleum dan gas. Ketiga-tiga sumber ini merupakan tenaga yang amat terkenal penggunaanya pada masa sekarang. Malah kenaikan harga bahan api utama petrol dan diesel baru-baru ini menyebabkan ramai orang mula memandang serius tentang tenaga keterbaharuan. Selain itu tenaga suria hidrokarbon yang boleh diperbaharui disimpan dalam bentuk biojisim dan juga biogas.
Biojisim yang terdapat dalam tumbuhan dianggap sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui kerana tumbuhan dapat ditanam berulangkali. Biogas pula terhasil daripada bahan organik yang ditindakbalaskan oleh mikroorganisma tanpa kehadiran oksigen atau udara yang menghasilkan gas metana dan karbon dioksida. Gas metana merupakan bahan bakar paling baik dan tidak mencemarkan alam, tetapi sekiranya dilepaskan ke udara boleh mengakibatkan kesan rumah hijau.
Tenaga sangat diperlukan dalam semua aktiviti manusia. Oleh yang demikian tenaga diperlukan dalam pembangunan sesebuah negara. Lebih pesat pembangunan yang dijalankan, lebih banyak tenaga yang perlu dihasilkan untuk memenuhi pembangunan tersebut.
Masa hadapan dalam menghadapi krisis tenaga kesan dari kenaikan harga minyak dan kos penggunaan tenaga elektrik yang tinggi ialah penggunaan tenaga keterbaharuan. Antara tenaga keterbaharuan yang mendapat perhatian pada masa kini ialah tenaga suria  yang digunakan dengan meluas di negara-negara maju. Antara aplikasi tenaga suria ialah untuk menyerap tenaga suria dan haba dalam bentuk cecair sebelum menukarkannya dalam bentuk wap panas atau stim dengan jumlah yang banyak. Stim tersebut akan berfungsi untuk menggerakkan turbin dan generator untuk menghasilkan tenaga elektrik. Teknologi ini banyak digunakan untuk menara-menara solar, rumah kediaman dan resort yang mempunyai sinaran cahaya matahari yang panjang dan mencukupi. Malaysia berpotensi untuk memajukan sumber tenaga suria ini memandangkan iklim negara kita yang berada di garisan khatulistiwa yang menerima pancaran matahari yang banyak sepanjang tahun. Selain itu beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta sedang giat menjalankan penyelidikan tentang potensi tenaga ini.untuk dikomersilkan. Namun begitu beberapa faktor lain perlu dikenalpasti untuk melaksanakannya. Informasi mengenai taburan keamatan cahaya sangat penting sebelum menetapkan lokasi yang sesuai bagi penjanaan tenaga solar. Selain itu, luas kawasan juga perlu diambil kira bagi memastikan serapan tenaga solar boleh mencapai kuantiti yang mencukupi untuk penjanaan tenaga yang lebih cekap.
Selain tenaga solar, ombak juga merupakan salah satu sumber tenaga alternatif yang boleh dibangunkan untuk penjanaan tenaga elektrik. Kita bersyukur kerana hampir keseluruhan negeri di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak dikelilingi oleh laut. Negara maju seperti Portugal telah lama memajukan tenaga ombak untuk bekalan elektrik mereka. Tenaga ombak boleh digunakan untuk penduduk-penduduk yang tinggal di pesisir pantai dan juga untuk operasi pelabuhan-pelabuhan di dalam negara.
Sebenarnya penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui bukanlah perkara baharu di negara kita. Pada tahun 1992, Profesor Dr Baharuddin Yatim dari Universiti Kebangsaan Malaysia, telah menganggarkan bahawa hampir 12 peratus dari jumlah tenaga yang digunakan adalah berpunca daripada sumber tenaga yang boleh diperbaharui terutamanya biojisim. Sebahagian besar penggunaan biojisim adalah dalam industri kelapa sawit. Contohnya, loji biojisim yang dibangunkan oleh Felda Holding Berhad pada tahun 2006, berupaya menjana tenaga elektrik sebanyak 7.2 MegaWatt daripada sumber tandan kosong kelapa sawit.
Malaysia sebenarnya mempunyai kemampuan dari segi sumber dan modal insan untuk  membangunkan tenaga alternatif bagi menggantikan sumber yang sedia ada. Dengan memanfaatkan peluang dan kekuatan yang dimiliki melalui penumpuan terhadap tenaga keterbaharuan seperti tenaga angin, solar, hidro, nuklear dan juga biojisim, kita mampu menjadi contoh kepada negara lain dalam menghadapi krisis tenaga yang semakin meruncing. Malaysia harus bergerak pantas dalam usaha menangani fenomena kenaikan harga bahan api dan krisis tenaga yang berterusan dengan melihat potensi tenaga alternatif. Istilah yang sedang hangat dibicarakan pada masa kini ialah ‘tenaga’ selepas internet, bioteknologi dan nanoteknologi. Bak kata Geoffrey Carr, seorang kolumnis majalah The Economist “masa hadapan  bergantung kepada kuasa dan tenaga”.
Catatan :// Artikel ini muncul di Estidotmy Julai 2008