KECEKAPAN TENAGA
Ini dapat dicapai dengan aplikasi teknologi yang cekap, seperti motor yang cekap tenaga yang tinggi, lampu, dab lain-lain serta melibatkan kos pelaburan dan memerlukan pakar untuk mengenal pasti teknologi yang betul. Kecekapan tenaga kebanyakannya digunakan untuk industri.
KECEKAPAN TENAGA…ADAKAH ANDA KETAHUI MAKSUD SEBENAR??
Kecekapan tenaga merujuk kepada penggunaan tenaga yang cermat, berhemat dan bijaksana. Sebagai pengguna, amalan kecekapan tenaga boleh mengurangkan perbelanjaan, menjimatkan kos sara hidup dan mengelakkan pembaziran. Suruhanjaya Tenaga (ST) merupakan badan yang bertanggungjawab dalam membangunkan dan mengawal selia program pelabelan cekap tenaga. Program pelabelan cekap tenaga ini bertujuan untuk mengalakkan industri untuk menghasilkan barang elektrik yang menjimatkan tenaga. Selain itu, sesebuah syarikat barang elektrik juga mempunyai kelebihan dari segi persaingan kerana barang mereka mempunyai label yang menunjukkan bahawa ia boleh menjimatkan tenaga elektrik.

Label cekap tenaga ini bertujuan memberi maklumat yang lebih terperinci dalam membantu pengguna membuat pilihan terhadap barang elektrik yang cekap tenaga. Bintang pada label cekap tenaga ini menunjukkan kecekapan barang elektrik tersebut dalam menjimatkan tenaga. Label yang mempunyai taraf 1 bintang menunjukkan barang elektrik tersebut mempunyai kecekapan tenaga yang rendah dan taraf 5 bintang menunjukkan barang tersebut mempunyai kecekapan tenaga yang paling tinggi. Setakat ini label tersebut boleh didapati pada barang elektrik tertentu seperti peti sejuk, pendingin hawa, televisyen dan kipas angin. Pengguna boleh membuat pilihan dengan melihat kepada taraf bintang pada barang elektrik tersebut. Label ini juga boleh membantu pengguna membuat perbandingan antara satu barang dengan barang yang lain. Pengiraan kecekapan penggunaan tenaga bagi peti sejuk ditentukan melalui kaedah ujian yang diiktiraf dan disokong oleh Suruhanjaya Tenaga. Proses pengujian tersebut dijalankan oleh pihak SIRIM. Sekiranya pengujian tersebut lulus, maka Suruhanjaya Tenaga akan memberi pengiktirafan label kecekapan tenaga berdasarkan taraf 1 hingga 5 bintang. Standard adalah satu panduan yang mengariskan ciri-ciri keselamatan dan kualiti bagi sesuatu barang dan perkhidmatan. Di Malaysia, satu jawatankuasa teknikal Performance of Household and Similar Electrical Appliances telah ditubuhkan bertujuan membangunkan standard berkaitan dengan kecekapan tenaga. Standard ini bertujuan menghasilkan barangan elektrik bagi kegunaan isi rumah yang cekap tenaga. Dokumen MS (Malaysian Standard) yang sedang dibangunkan ini akan membantu industri dan pengeluar untuk mematuhi ciri-ciri dan kriteria tertentu yang ditetapkan
Sumber: Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia
KECEKAPAN TENAGA
Bangunan LEO (Low Energy Office) di Putrajaya telah mula didiami sejak tahun 2004. Sejak itu pengurusan tenaga bangunan telah dilaksanakan. Indeks penggunaan tenaga (building energy index) pada tahun 2005 ialah 114 kWj/m2/tahun tetapi indeks tersebut telah menurun kepada 104 kWj / m2 / tahun pada tahun 2006. Audit tenaga telah dilaksanakan ke atas Bangunan Blok E6, Kementerian Kesihatan dan Bangunan Blok B6, Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. Audit tersebut menunjukkan bahawa indeks tenaga di bangunan LEO lebih rendah dari bangunan konvensional.
Demi berkongsi pengalaman mengenai Bangunan LEO dan pengurusan kecekapan tenaga, KTAK telah menganjurkan dua (2) seminar, iaitu Seminar on Energy Efficiency in Buildings - How To Achieve Immediate Savings di Kuala Lumpur dan KTAK Low Energy Office: Lessons Learnt di Putrajaya. Seminar on Energy Efficiency in Buildings disasarkan untuk agensi dan jabatan Kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemilik dan penyelenggara bangunan serta badan profesional dalam industri tenaga. Seramai 200 peserta telah menghadiri Seminar tersebut. Seminar KTAK Low Energy Office: Lessons Learnt pula dihadiri 300 orang peserta yang terdiri daripada agensi Kerajaan dan sektor swasta.
Dengan adanya program-program kesedaran sedemikian, KTAK berharap dapat meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di kalangan anggota masyarakat. Aktiviti-aktiviti lain yang terus dilaksanakan di bawah projek ini adalah seperti memantau indeks penggunaan tenaga secara bulanan, menerima kunjungan pelawat serta menyampaikan taklimat mengenai Bangunan LEO dan menyediakan risalah mengenai Bangunan LEO. Bangunan LEO KTAK juga telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Energy Efficient Building Best Practices Peringkat ASEAN Tahun 2006 di bawah kategori “bangunan baru dan telah sedia ada.” Anugerah tersebut telah disampaikan dalam satu majlis khas yang telah diatur sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-24 di Vientiane, Lao PDR. Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi telah menerima anugerah tersebut bagi pihak Kerajaan Malaysia.