Bahan bakar biomas dapat permintaan tinggi
KUALA LUMPUR 7 Mei - Malaysia diseru untuk terlibat aktif dengan industri pengeluaran pelet bahan bakar biomas untuk pasaran Asia dan Eropah ekoran permintaan yang tinggi dan dijangka boleh mencecah sehingga lima juta tan setahun menjelang 2015.
Pengarah Urusan Detik Aturan Sdn. Bhd., Khairil Annuar Khalid berkata, Malaysia merupakan antara pengeluar sisa biomas terbesar di dunia dengan bahan berasaskan kelapa sawit merupakan penjana terbesar.
Menurutnya, jumlah pasaran bahan bakar itu di Asia pada 2010 adalah sekitar 770,000 tan dan China merupakan pengguna terbesar iaitu kira-kira 600,000 tan setahun.
"Pada tahun tersebut, negara kita mencatatkan pengeluaran sisa biomas sekitar 80 juta tan metrik dan lambakan bahan tersebut boleh dikitar semula bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi terhadapnya," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurutnya, kilang pengeluaran pelet bahan bakar biomas syarikat itu telah dibuka di Kuala Selangor pada April lalu.
Dalam majlis yang sama, syarikat milik penuh bumiputera itu turut menandatangani satu perjanjian kerjasama teknikal dan pemasaran untuk pasaran di Korea Selatan bersama syarikat Eco Front Co. Ltd.
Menurut Khairil Annuar, atas kesedaran untuk melindungi alam sekitar, negara seperti China, Korea Selatan dan Jepun telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan salah satunya adalah melalui penggunaan pelet bahan bakar biomas.
"Usahawan di Malaysia perlu mengambil inisiatif dalam memanfaatkan peluang perniagaan itu apatah lagi ia juga selari dengan dasar kerajaan melalui inisiatif Strategi Alternatif Biomas 1Malaysia (1MBAS) yang dilancarkan pada 22 Mac lalu.
"Dasar tersebut menekankan ke arah pembangunan dan guna semula sisa biomas tempatan sebagai sumber kekayaan negara," jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya juga bersedia menawarkan bantuan melalui khidmat kepakaran dalam penghasilan bahan tersebut kepada pihak yang berminat untuk menambah nilai sisa buangan biomas mereka.
Sumber: Utusan Online
Perladangan sumber tenaga baharu
KUALA LUMPUR 18 April - Syarikat-syarikat gergasi perladangan mampu menjadi pembekal tenaga terbesar menggantikan syarikat cari gali petroleum seperti Petronas dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Pengurus Besar, Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman, Thomas Brandt berkata, syarikat-syarikat tersebut mempunyai keupayaan untuk menjadi pembekal tenaga diperbaharui berikutan mereka mengeluarkan banyak bahan sampingan organik seperti biomas.
"Buat masa ini syarikat-syarikat perladangan tempatan hanya memberi tumpuan kepada pengeluaran minyak sawit dan tidak begitu berminat untuk memproses semula bahan-bahan tersebut sebagai satu sumber tenaga diperbaharui, " katanya semasa taklimat media di sini hari ini.
Menurut Brandt, Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai potensi besar sebagai pengeluar sumber tenaga yang diperbaharui kerana ia mempunyai radiasi solar 25 peratus lebih tinggi berbanding Jerman yang menjadi antara penyumbang terbesar sumber tenaga diperbaharui dunia.
Selain itu, Malaysia juga memiliki 63 juta tan biomas di mana 23 juta tan daripadanya telah dikomersialkan sebagai sumber tenaga diperbaharui.
Namun begitu menurut Brandt, Feed-in-Tarif (FiT) yang dikenakan Malaysia sangat rendah dan dilihat sebagai tidak mempunyai daya penarik kepada syarikat-syarikat peladangan untuk menceburi bidang pengeluaran sumber tenaga diperbaharui walaupun mereka mempunyai biomas yang banyak.
Katanya, mungkin kerajaan perlu menilai semula FiT kerana syarikat-syarikat tersebut hanya berminat sekiranya mereka diberikan julat keuntungan yang lebih besar.
" Sumber tenaga fosil dihasilkan selama berbilion tahun tetapi boleh dihabiskan dalam tempoh 25 tahun sahaja sedangkan dengan kekayaan sumber negara ini mampu mengeluarkan tenaga yang diperbaharui yang berterusan untuk generasi-generasi akan datang, " ujar beliau lagi.
Untuk rekod, di bawah Akta Tenaga Diperbaharui 2010 individu ataupun syarikat boleh menjual tenaga elektrik yang dijana daripada tenaga diperbaharui kepada syarikat-syarikat utiliti pada harga premium yang ditetapkan mengikut waktu yang telah dikhaskan.
Empat sumber tenaga diperbaharui yang layak untuk FiT adalah biogas, biomas, penjana tenaga hidro kecil dan solar fotovoltik (solar PV).
Malaysia mensasarkan 2,080 megawat atau 11 peratus daripada keseluruhan tenaga elektrik yang dijana di negara ini pada tahun 2020 adalah datangnya daripada tenaga diperbaharui.
Pada ketika ini, kurang daripada satu peratus keseluruhan tenaga elektrik di negara ini dijana daripada tenaga diperbaharui sedangkan sasaran kerajaan adalah 5.5 peratus menjelang 2015.
Kadar yang dibayar oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB) kepada pengeluar tenaga diperbaharui sekarang adalah 12 sen bagi setiap kilo wat / jam.
Dengan FiT, pengguna boleh memasang sumber tenaga diperbaharui sendiri seperti modul solar di rumah dan ia mampu menjadi pendapatan kedua bagi pengguna apabila mereka menjual tenaga elektrik tersebut kepada TNB.
Sumber: Utusan Online
Teknologi hijau tingkat dagangan Malaysia-Taiwan
KUALA LUMPUR 10 Mei - Sektor ekonomi baharu seperti teknologi hijau berpotensi meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Taiwan pada masa akan datang, kata Presiden Persatuan Perniagaan Hijau Malaysia, Tan Sri Mustafa Mansur.
Beliau berkata, berdasarkan kepakaran Taiwan dalam sektor tenaga hijau, Malaysia boleh memperoleh manfaat pemindahan teknologi selain inisiatif usaha sama.
"Menurut Institut Dasar Tanah, Taiwan merupakan pengeluar fotovoltaik ketiga terbesar di dunia yang mengusai kira-kira 15 peratus daripada pasaran, dan bersama China, kedua-duanya mendominasi 60 peratus daripada pasaran fotovoltaik solar dunia.
"Dalam perkembangan lain, Taiwan juga merupakan negara pengeluar diod pemancar cahaya (LED) terbesar di dunia dengan nilai keluaran kira-kira AS$1.6 bilion (RM4.9b) pada 2008," kata Mustafa yang ditemui pada Seminar Perniagaan Teknologi Hijau itu.
Tahun lepas, nilai dagangan dua hala Malaysia dan Taiwan berjumlah US$15.6 bilion (RM47.9 bilion), peningkatan sebanyak 13.6 peratus berbanding 2010. - BERNAMA
Sumber: Utusan Online
DiGi perkenal pusat data mesra alam
INISIATIF mengekalkan kehijauan bumi dan menjaga kelangsungan keindahan alam sekitar semakin dipandang serius oleh banyak pihak di negara ini.
Menyedari langkah itu bukan perlu dilaksanakan oleh sesetengah organisasi sahaja, sektor awam dan juga swasta kini turut mengorak langkah melaksanakan tanggungjawab tersebut secara bersama.
Matlamatnya adalah untuk melihat bumi terus 'bernyawa' sekali gus memberi tempat yang selesa dan selamat untuk didiami penghuninya.
Antara pendekatan yang banyak diambil adalah seperti menerap dan mempraktikkan aktiviti penjagaan alam sekitar sebagai sebahagian daripada operasi perniagaan.
Mengambil contoh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi negara, DiGi Telecommunication Sdn. Bhd. (DiGi) baru-baru ini memperkenalkan Pusat Operasi Teknologi (TOC) dengan pelaksanaan ciri-ciri hijau.
Pembinaan bangunan tiga setengah tingkat berkeluasan kira-kira 20,000 meter persegi di Pusat Perindustrian Subang Hi-Tech itu merupakan sebahagian komitmen DiGi melengkapkan operasinya dengan fungsi mesra alam.
Kelebihan itu telah membolehkan TOC diiktiraf sebagai pusat data hijau pertama di Malaysia menerusi penganugerahan Sijil Emas Ratifikasi daripada Indeks Bangunan Hijau (GBI). Ia merupakan sistem penarafan bangunan hijau di negara ini.
Menurut Ketua Pegawai Teknologi DiGi, Ole Martin Gunhildsbu, pelaksanaan teknologi itu dilihat sangat relevan dengan keperluan perniagaan DiGi.
''Sebagai tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar, inisiatif ini bakal memberi kesan terhadap pencapaian operasi syarikat secara lebih efisien dan dapat mengurangkan pengunaan tenaga.
''Selain bangunan, integrasi mesra alam ini turut diaplikasi pada khidmat rangkaian, kakitangan, ruang bekerja, para pembekal dan juga pelanggan kami,'' katanya pada taklimat media di Shah Alam baru-baru ini.
TOC yang dilengkapi pusat pelayan data, pemulihan rangkaian suis telekomunikasi serta ruang pejabat dibangunkan dengan kos bernilai RM80 juta.
Pembinaannya menyasarkan objektif menyokong keperluan aktiviti pengendalian servis data DiGi berkapasiti tinggi selain mengurangkan pembebasan karbon untuk jangka masa panjang.
Daripada sudut penggunaan tenaga pula, TOC mampu memberi penjimatan penggunaan kuasa sehingga 30 peratus apabila operasi pusat itu dijangka mencapai bebanan aktiviti melebihi kira-kira 840 meter persegi pada tahun ini.
''Ini kerana, bahagian pusat data dalam sesebuah organisasi telekomunikasi biasanya akan menggunakan lebih 70 peratus kuasa daripada total tenaga yang digunakan bagi memastikan rangkaian liputan sentiasa dalam keadaan stabil,'' jelasnya.
Justeru menurut Ole, pihaknya sentiasa meletakkan komitmen tinggi dalam pelaksanaan piawaian standard operasi mesra alam bertaraf dunia.
Untuk itu, DiGi telah bekerjasama rapat dengan pihak GBI dalam membantu mereka menentu dan membangunkan tanda aras terbaik untuk membina pusat data mesra alam.
Melengkapkan tujuan sama, DiGi juga ketika ini sedang dalam proses menaiktaraf kesemua 5,000 pusat operasi data di seluruh negara dengan teknologi yang sama.
''Antara elemen hijau yang akan diaplikasikan dalam operasi rangkaian DiGi adalah seperti teknologi transmisi dengan sokongan kuasa solar hibrid bagi mengurangkan pembebasan karbon sehingga 11,000 tan menjelang akhir tahun 2012.
''Melalui integrasi teknologi mesra alam seperti ini, pihak kami yakin dapat memperbaiki liputan dan kualiti rangkaian di samping menyumbang kepada penjimatan kuasa secara optimum,'' jelasnya.
Sumber: Utusan Online